Hari ini (9 November 2011), Malaysia digemparkan lagi apabila buletin utama akhbar memaparkan dua kes pembuangan bayi yang belaku di Nilai berdekatan dengan Universiti Sains Islam Malaysia dan di Ampang Jaya pada hari semalam. Masih bersyukur apabila bayi yg dijumpai di Nilai masih berumur panjang namun tidak pada bayi malang di Ampang Jaya.Apa telah terjadi negara yang mengaku sebagai negara Islam ini??
Keruntuhan akhlak dan kebejatan moral makin meruncing. Maruah diri seorang wanita dilelong dengan tidak berharga dan sewenang-wenangknya menyerahkan mahkota diri yang kononya bukti cinta dan kasihnya kepada seorang lelaki. Lantas bayi suci yang lahir hasil dari hubungan haram dibuang oleh insan bergelar ibu dalam keadaan yang amat meruntun jiwa.. di manakah ihsannya???
Akademik diutamakan, Akhlak diabaikan
Teringat kembali di semester lalu apabila berpeluang menjadi fasilitator di salah satu program pemantapan jati diri yang dianjurkan oleh salah satu badan NGO. Dan peserta program tersebut merupakan pelajar-pelajar tingkatan satu hingga lima dari sebuah sekolah berasrama penuh di sekitar Negeri Sembilan. Walaupun dari latar belakang yang berbeza, namun satu persamaan mereka ialah mempunyai pencapaian akademik yang sangat membanggakan.
Tiga hari bersama merupakan satu jangka masa yang amat singkat .Namun, slot-slot muhasabah yang begitu hebat daripada pihak penganjur membutkan mereka sudi untuk berterus terang dan telah berjaya mencungkil masalah-masalah yang melibatkan akhlak dan moral. Amat terperanjat apabila hampir lapan puluh peratus peserta terjebak dengan masalah keruntuhan akhlak dan moral yang amat serius. Rokok, gengsterism, penzinaan menjadi populariti dalam borang kaji selidik yang telah diedarkan kepada peserta. Ini tidak termasuk dengan perkara-perkara asas bagi seseorang individu muslim samaada dari segi penjagaan solat, puasa, aurat, ,akhlak terhadap orang tua. Boleh dikatakan mejorotinya amat mendukacitakan. Statistik masalah penzinaan menarik minat saya untuk mengetahui, namun haru biru apabila lebih separuh daripada peserta pernah mencuba hal terlarang itu bersama teman silang jantina samaada secara sukarela mahupun dipaksa.
Beginikah generasi dan pemimpin masa hadapan yang kita inginkan?? Mengutamakan pencapaian dan penguasaan akademik namun mengabaikan pemantapan dan pengahayatan akhlak dan moral..???
Anda bijak, jauhi zina
Kembali kepada pokok pangkal berbincangan. Kes pembuangan bayi bukanlah kes yang asing di negara ini, umpama cuaca, ada cerah ada mendungnya, ada hujan ada ributnya. Begitu juga kes zina yang melibatkan pembungan bayi yang ada pasangan surutnya. Tidak cukup dengan kempen-kempen, rumah-rumah kebajikan, dan adanya pula sekolah-sekolah bagi menampung remaja yang terlanjur, namun belum mampu memberi impak positif dan kesedaran kepada individu dan masyarakat.
Usaha yang telah melaburkan sejumlah wang yang begitu besar dan kerahan tenaga dari pelbagai pihak yang mempunyai kesedaran, umpama tidak membuahkan hasil. Jika kesedaran itu hadir, hanya sebentar cuma, ataupun pada mereka yang telah mengalami pahit getir melahirkan di tandas-tandas awam mahupun bilik-bilik stor, tanpa ada tangan mulia yang menyambut kelahiran anak malang tersebut dan tanpa belaian dari insan bergelar suami. Namun, pada mereka yang belum mengalami, langsung tidak ingin mengambil pengajaran lantas sedang buai dengan kenikmatan dek cinta nafsu yang ingin disayangi dan dicintai. Tanpa mereka sedari, mereka berpotensi besar menjadi mangsa seterusnya oleh lelaki yang tidak berperikemanusiaan.
Pihak berwajib tidak peduli??
Lagi mendukacitakan apabila YAB Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak dalam pembentangan bajet 2012 tidak memberikan peruntukan khas kepada masalah gejala sosial ini.Banyak peruntukan berjuta ringgit dikhususkan untuk memperbaiki kehidupan golongan rakyat kelas biasa dan bawahan yang sememangnya wajar diberikan pembelaan.Malangnya, tidak terdapat pula satu peruntukan khas dalam bajet tersebut yang menjurus kepada usaha serius menangani gejala sosial dan seksual yang semakin membarah dan meruncing dalam masyarakat hari ini. Kekesalan ini dinyatakan oleh Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj Pengerusi , Lembaga Pengarah Induk (LPI) Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah.
Bagaimana dengan nasib rumah-rumah kebajikan dan pembiyaan bagi golongan malang ini???Apakah nasib generasi masa depan negara ini andai pihak berwajib juga dilihat seperti tidak mengambil peduli?? Bagaimana untuk melahirkan Modal Insan dan masyarakat Al-Abrar yang dicanang-canangkan andai permasalahan sebesar ini dipandang sebelah mata??
Jangan ‘MENDEKATI’ zina
Generasi hari ini dimomokkan dengan hiburan yang melampaui batas. Artis menjadi ikon muda-mudi masa kini. Kisah-kisah mereka menjadi sajian utama dada-dada akhbar dan lagu-lagu yang berkumandang di stesen-stesen radio menjadi halwa telinga saban hari lantas bagi mereka yang cetek pemikiran dan rapuh imannya dengan mudah mencontohi dan menjadikan artis-artis sebagai qudwah dan trend masa kini. Andai ada yang masih berpegang pada tunas-tunas islam dikatakan kolot dan ketinggalan zaman. Contoh mudah, muda mudi sekarang berasa malu untuk mengakui tidak mempunyai teman istimewa. Apatah lagi wanita, momokan tidak laku pasti menjadi ketakutan dan kerisauan andai diri belum dimiliki, dan disebabkan inilah ramai yang sudi menerima seorang lelaki walaupun jelas terpancar keperibadian yang buruk dan hanya ingin mengambil kesempatan..Tiada yang diperkirakan melainkan keseronokan semata.
Dalam Al-Quran, Allah S.W.T berfirman: Janganlah kamu ‘mendekati’ zina. Para Mufassirin memberi tafsiran makna disebalik firman Allah S.W.T tersebut. Tidak hanya dinyatakan pengharaman zina semata,namun apa-apa perkara yang mendekati kepada penzinaan juga amat ditegah.
Dan satu hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud: Mata itu berzina dan zinanya adalah memandang (tanpa keperluan), Lisan itu berzina dan zinanya adalah bercakap (yang sia-sia, lucah dan sebagainya), Kaki itu berzina dan zinanya adalah melangkah (untuk bermaksiat), Tangan itu berzina dan zinanya ialah merangkul (untuk bermaksiat), Hati itu berhawa dan berangan-angan, Faraj membenarkan atau mendustakannya.
Pemantapan akhlak dan rohani
Bukan harus dinafikan usaha-usaha NGO dan badan-badan persendirian yang prihatin dengan golongan malang ini. Namun dalam usaha membenteras masalah ini, bukan seperti pepatah melayu ‘sudah terhantuk baru terngada’..Usaha ini harus diperhalusi dari akar umbi dan iyanya melalui proses yang panjang dan usahasama dari pelbagai pihak. Jalan yang terbaik adalah dari segi pemantapan akidah syariah dan akhlak sedari kecil. Proses pengislahan ini bermula dari keperibadian mulia ibu bapa sebelum, ketika dan setelah terbinanya Baitul Muslim. Sejauhmana keberkatan prosesnya, sejauh itulah kemantapan akhlak dan keperibadian anak-anak yang bakal dilahirkan. Dan begitulah kitaran seterusnya.
Andai usaha ini membuah hasil, tidak perlu akan peruntukan khas, rumah-rumah kebajikan, kempen-kempen pemulihan akhlak, namun semuanya itu disalurkan pada hal ehwal kebajikan rakyat dan usaha pemantapan jati diri sebagai seorang individu muslim agar keberkatan di dunia mengiringi kebahagian di akhirat sana.
Duhai wanita, mengapa harus ditempah nikmat semalaman cuma namun deritanya kekal selamnya???
Rosita bt Buwathy,
Exco Hal Ehwal Wanita(HELWA),
Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia(SPMM)