CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Selasa, 17 April 2012

Tarian Tiang: Perosak Tamadun Bangsa


 
Tanpa perlu dirungkai apakah ia tarian tiang, jelas tergambar di benak fikiran dengan aksi-aksi melampau oleh sekumpulan wanita yang diserikan  dengan tiang-tiang panjang sebagai alat. Hal Ehwal Wanita (HELWA), Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, bertegas dan memohon agar pihak berwajib mengambil serius isu ini kerana ia jauh tersasar dari nilai dan adat ketimuran apatah lagi jelas bertentangan dengan hukum dan prinsip-prinsip Islam itu sendiri.

Jika baru-baru ini serbuan dilakukan di kawasan Nilai, Negeri Sembilan dan ini jelas menunjukkan Nilai sebagai gedung ilmu telah dicemari budaya hedonisma dengan aksi-aksi yang  menghairahkan oleh penari-penari tiang. Ini bukan nilai yang harus diketengahkan oleh wanita islam, apatah lagi mereka hidup dalam lingkungan institusi-institusi pendidikan khususnya berdekatan dengan Institusi Pengajian Islam di sini. Juga beberapa laporan di beberapa kawasan membuktikan tarian ini semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat yang jauh tersasar dari landasan agama.

Sebagai Mahasiswa/i yang prihatin, sudah tiba masanya untuk kita ke lapangan masyarakat yang telah terjerat dengan budaya hedonisma ini. Usahasama dari pelbagai pihak harus dipergiat dan dipertegas dalam membanteras gejala ini demi membentuk masyarakat yang berakhlak dan seterusnya melahirkan modal insan yang berguna khasnya di persekitaran yang padat dengan gedung ilmu ini.

Meninjau suasana alam di zaman Jahiliyyah, apabila wanita telah dianggap sebagai simbol seks, hari ini jahiliyah moden kembali lagi dengan mengeksploitasi tubuh wanita dan menjadikan mereka aset dagangan yang menjanjikan  pulangan yang sangat menguntungkan.

Isu ini jelas meruntuhkan maruah diri seorang wanita, sedang wanita itu harus ada sifat Al-Haya’ (malu) dan wajib melindungi dirinya dari terjebak dari perkara-perkara kemungkaran. Andai angka kompaun RM25 tidak memberi apa-apa makna kepada para penari tiang ini, bara tiang api neraka sedang menanti bagi mereka andai tidak bertaubat.

Isu wanita adalah hak dan tanggungjawab bersama. Jika rosak santun golongan Hawa, maka hancurlah sesebuah tamadun bangsa.


"Bringing you to The Way"
www.myspmm.org
 
 

Sabtu, 14 Januari 2012

Di Lubuk Hati Srikandi



Di lubuk hati srikandi…
Cinta Allah  matlamat utama..
dengan mengharap  belaian cintaMu..
dengan harapkan naungan pentunjukMu..
dengan harapkan belas kasih sayangMu…

Namun..
Dalam menempuh pancaroba dunia..
Dalam mengahadapi mehnah dunia..
Kadang ku hanyut dalam buaian fitrah manusia…
Ku semai hangatnya rasa ..
Ku pupuk nikmat sementara..
Ku terbang dalam dakapan lamunan jiwa …
Ku tunduk dalam angan cinta..
Lantaran mengejar bayangannya…
Walau ku tahu..
Ia permainan musuh dunia..
Belaian nafsu durjana..

Ya Allah…
Walau  tidak pernah terzahir di depan mata..
Walau tidak petah  bersua bicara…
Walau tidak bedamping walau sebentar cuma..
Sukarnya melawan gejolak rasa..
Tika ia hadir tanpa dipinta..
Lantaran rindu Membekas  di jiwa..
Kepada dia sang mujahid muda..
Menjadi sayap kiri yang setia..


Ku pohon..
Jauhkan aku dari kelalaian hati…
Tanpa berfikir  yang belum haknya diri..
Ajari aku meniti usia pinjaman diniawi…
Dengan santapan rohani..
Istiqamahkan aku dengan perjuangan ini..
Mendakap ilmu duniawi dan akhrawi..


Ya Rabbana..
Hadirkan cintaku pada Mu…
Semaikan  nur iman dalam jiwa srikandi..
Agar  si dia hadir atas pilihan dan kehendak Mu…
Yang tertaut  kerna tulusnya mencintai Mu..



Akasia Avanue : 01.55 pm

Jumaat, 6 Januari 2012

Muhasabah di Fatrah Imtihan


Dalam mengahadapi fatrah imtihan, sekali lagi kita sering berperang dengan pelbagai  perasaan yang membelenggu jiwa samada gementar, takut, risau dan seribu satu lagi perasaan. Juga tergambar perasaan yakin, tenang, ceria pada  raut wajah insan-insan yang terpilih. Perasaan ini asalnya hadir berlatar belakangkan sejauh mana persediaan yang kita lakukan sebelum menghadapi  peperiksaan. kita akan berasa yakin andai mempunyai persediaan yang cukup dan  dan sentiasa bersedia dengan apa jua persoalan yang bakal di timbulkan. Bagi mereka yang hanya membuat  persediaan yang ala kadar dan cukup makan sahaja akan  menjadikan hati takut untuk menghadapinya dan berasa resah kalau-kalau soalan yang dihadapi  sangatlah mencabar. Secara konseptualnya, semakin tinggi persediaan untuk menghadapi peperiksaan maka semakin tinggilah keyakinan untuk menempuhnya dan begitulah sebaliknya.

Subahanallah..tika mana Allah menguji kita berhadapan dengan soalan imtihan yang mencabar, walau segenap usaha telah dibuat Tapi hakikatnya, apabila berhadapan dengan masyarakat kelak jauh lebih mencabar. Jika difikir semula, soalan imtihan jauh lebih mudah kerana kita di beri masa untuk muraja'ah (mengulangkaji) dan pastinya persoalan berlegar dalam ruang lingkup pembelajaran. Sedangkan apabila berhadapan dengan masyarakat kelak pasti diajukan pelbagai soalan secara langsung tanpa ada masa untuk merujuk buku, dan pastinya pada soalan-soalan yang jauh menyimpang dari pengkhususan kita. Mampukah kita menghadamkan ilmu yang dipelajari sebelum terjun ke medan masyarakat? bersediakah kita?

Dalam menghadapi hakikat ini, menyaksikan ramai antara kita yang mengejar pointer tinggi sebagai modal untuk bergraduasi kelak. Sijil anugerah dekan menjadi tatapan tiap semester. Namun, adakah anugerah yang diraih tiap semester  menggambarkan hakikat ilmu yang kita dimiliki? 

Wahai sahabat, sungguh!!! Pencapaian akademik amatlah penting sebagai aset utama dalam perolehan dunia  pekerjaan kelak, Namun kena ingat, ianya hanya sia-sia belaka andai diri dan jiwa kontang dari ilmu, kefahaman dan penghayatan.  Dan betapa ruginya  bagi mereka yang belajar kerana peperiksaan dan mengejar pointer yang tinggi semata-mata tanpa ada kesedaran untuk meraih ilmu pengetahuan sebanyak yang mungkin dan seterusnya menjadi insan yang bermanfaat buat ummah. Alangkah malangnya mahasiswa sedemikian.

Kata-kata hukama’ ada menyebut:

 العلم في الصدور ليس في الستور (“,) Oleh itu sahabat-sahabat, tanamkan azam setinggi bintang untuk diri kita benar-benar menjadi orang yang berilmu. Kautlah sebanyak mungkin mutiara-mutiara ilmu dari pelbagai sumber. Akhir kalam, moga berjaya pada imtihan yang masih berbaki ini. Tingkatkan dan gandakan usaha agar kita menjadi insan terpilih yang mana Allah campakkan perasaan tenang, yakin, sepanjang menjawab peperiksaan kelak. Bittaufiq wannajah!!